Friday 6 December 2013

Hati : Kesenangan dan Kepuasan Bukan Syarat Ketenangan



Tugasan Blog (Rencana) SZW502
Hati: Kesenangan dan Kepuasan Bukan Syarat Ketenangan
Khairul Izuan B Ab. Aziz
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan Pembangunan Islam
PSM0056/12


Perkataan hati, heart atau kabid sangat sinonim dengan makhluk yang bergelar manusia. Melalui hati timbulnya sayang, melalui hati lahirnya ihsan, melalui hati wujudnya hasad dan melalui hati juga terzahirnya perbuatan. Perkara ini membuktikan bahawa hati berkuasa dalam mempengaruhi perasaan, emosi dan tingkah laku manusia sama ada tenang atau resah. Malah, dalam Islam memperlihatkan hati sebagai komponen penting dalam diri seorang insan. Tetapi dengan sifat manusia yang berkeluh kesah, zalim, sombong, kedekut, melampaui batas, lemah dan tidak bersyukur, mampukah ketenangan hati diraih? Kadang-kadang manusia sering gelisah apabila kehendak tidak dapat dipenuhi, tidak mempunyai harta, miskin atau bergaji rendah, sehingga sanggup mengambil rasuah, merompak dan membunuh. Sebenarnya kita terlupa, bahawa ketenangan itu bukan hanya berdasarkan faktor harta, kekayaan dan kemewahan yang berbentuk material sahaja, sebaliknya ketenangan itu akan diperoleh jika hati seseorang insan itu terdidik dengan baik. Namun ramai yang mengejar kesenangan dunia kerana kesenangan itu nampak jelas di mata sedangkan ketenangan itu hanya dapat dirasai melalui hati.

Ketenangan dapat diraih jika manusia sentiasa berbaik sangka terutama dengan Allah s.w.t walaupun ditimpa musibah. Hakikatnya, dugaan dan ujian daripada Allah s.w.t sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan manusia. Bezanya setiap orang diuji mengikut tahap kemampuan masing-masing, ada diuji dengan bencana alam, ada diuji dengan kemiskinan melampau sehingga terpaksa berlapar, ada orang diuji dengan kemewahan yang tidak terhingga dan ada juga yang muflis dalam perniagaan. Manusia sebagai hamba Allah s.w.t hanya perlu berlapang dada menerimanya dan percaya setiap kejadian adalah kehendak Allah. Hal ini kerana Allah s.w.t lebih mengetahui hikmah yang tersembunyi disebalik setiap kejadian kerana Allah s.w.t adalah sebaik-baik perancang.

“Dan boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu”.
(Al-Baqarah, 2: 216)

Oleh itu, dengan bersangka baik dengan Allah s.w.t, hati individu sama ada miskin atau kaya akan tenang dan menganggap setiap rezeki kurniaan Allah s.w.t adalah pinjaman semata-mata bagi membuktikan ketaatan mereka sebagai khalifah Allah s.w.t.  Selain bersangka baik dengan Allah s.w.t, bersangka baik sesama manusia juga perlu untuk mewujudkan hubungan yang harmoni, tenang dan dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturahim sama ada dengan keluarga, jiran, rakan sekelas dan rakan sekerja. Bersangka baik sebenarnya dapat mengelakkan diri daripada mempunyai sifat mazmumah seperti sombong, pemarah, putus asa, berkeluh kesah, menyalahkan orang lain dan sebagainya. Dengan itu, sebagai pemegang amanah Allah s.w.t, kita dapat mengurus sesebuah institusi dengan tenang dan dapat jalani hidup yang positif bersama orang sekeliling kita. Hakikatnya, setiap kejadian dan ujian yang melanda, memberi pengalaman dan mengajar erti kesabaran, tawakal dan bersyukur di setiap ketentuan-Nya.

Ketenangan hati juga sebenarnya akan tergugat dengan wujudnya amalan mengumpat dalam kehidupan masyarakat. Mengumpat sangat senang dilakukan dengan hanya mengeluarkan perkara-perkara buruk mengenai seseorang. Namun, hakikatnya hati seorang pengumpat tidak tenang sebenarnya, tidak tenang kerana dihantui rasa bersalah, takut dan tidak puas hati. Perbuatan tersebut berkait rapat dengan kehormatan dan keperibadian seseorang yang boleh menimbulkan keaiban. Kadang kala manusia terlupa mengumpat juga boleh menampakkan keaiban dan keburukan si pengumpat itu sendiri. Mengapa wujudnya amalan ini? Sedangkan hal ini bertentangan dengan dasar Islam yang menganjurkan umatnya supaya hormat-menghormati di antara satu sama lain. Mungkin kerana terselit hasad dengki, iri hati dan cemburu terhadap kehidupan orang lain yang dirasakan melebihinya. Perasaan ini boleh timbul kerana tiadanya rasa bersyukur terhadap ketetapan Allah s.w.t.

Sementara itu, bagi yang mereka yang diumpat, berlapang dada lah dan ingat apabila kita diumpat bermakna sebenarnya petanda bahawa kehidupan kita sebenarnya lebih indah dari mereka. Jadi maafkan kesalahan yang orang lain lakukan terhadap kita, dengan itu hati kita akan tenang. Walaupun, kadang kala memaafkan adalah sesuatu yang berat untuk diungkap tambahan pula jika perbuatan tersebut memberi kesan besar kepada kehidupan kita. Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri memaafkan orang-orang yang melakukan menganiaya dan mencaci baginda, malah dibalasnya dengan memberikan kebaikan. Kemaafan yang diberi bukan sahaja boleh memberi ketenangan kepada penerima, malah turut memberi ketenangan kepada pemaaf. Malah dengan sebuah kemaafan, Allah s.w.t menjanjikan syurga kepada seorang sahabat melalui Rasulullah s.a.w kerana amalannya yang memaafkan kesalahan orang terhadapnya sebelum tidur. Oleh itu, sifat memaafkan harus dimiliki oleh setiap individu samaada ibu bapa, anak-anak, pengurus, pemimpin, guru, pensyarah, mahasiswa dan sesiapa sahaja yang bergelar manusia. Allah s.w.t berfirman.

“Barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”

(Asy-Syura, 42: 40)

Selain itu, latih hati sentiasa bergantung  kepada Allah s.w.t dan tidak terlalu mengharapkan manusia dalam semua perkara. Kebergantungan kepada Allah s.w.t boleh dilakukan dengan berdoa, meminta pertolongan dan memohon petunjuk dari-Nya. Allah s.w.t mengetahui kehendak dan keperluan yang terbaik untuk kita. Kerana itu Rasulullah s.a.w menganjurkan kita membaca doa setiap kali selepas solat. Antara doa tersebut adalah bermaksud:

“Wahai Tuhan kami, tiada siapa yang boleh menahan apa yang ingin Engkau berikan, dan tiada sesiapa boleh memberikan apa yang Engkau tahannya serta tiada daya dan guna lagi ketika itu pemilikan orang kaya (untuk mempengaruhi penahanan dan kebenaran Allah)”
 (al-Bukhari, No.  5855)

Allah s.w.t tidak pernah mengecewakan hambanya. Namun begitu, bergantung kepada Allah s.w.t tidak bermakna kita tidak berusaha. Kita perlu berusaha dan menyerahkan setiap hasil mengikut ketentuan-Nya.

Selain itu, bersyukurlah dengan rezeki Allah s.w.t sama ada dalam bentuk lisan, hati dan perbuatan. Tanda orang bersyukur ialah tidak meremeh (memperkecil-kecilkan) pemberian Allah s.w.t, tidak bermasam muka jika mendapat rezeki atau sesuatu yang kurang dari yang diharapkan, tidak kufur nikmat dari Allah s.w.t, dan sentiasa redha dengan pemberian-Nya. Kadang kala kita tidak pernah cukup dengan rezeki Allah s.w.t, malah boleh pula timbul perasaan cemburu dan iri hati terhadap kesenangan orang lain sehingga sanggup bertindak diluar batasan. Bersyukurlah dengan nikmat Allah sama ada kecil atau besar. Walaupun mendapat banyak kemewahan dan kesenangan, jiwa orang tidak bersyukur sentiasa berasa masih tidak mencukupi. Semakin banyak yang dikejar, semakin dirasakan bebanan perasaan dan bertambah kekufurannya. Allah s.w.t berjanji menambah nikmat kepada sesiapa yang sentiasa bersyukur. Betapa beruntungnya orang yang bersyukur, mendapat nikmat di dunia dan pembalasan syurga di akhirat. Firman-Nya bermaksud:
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.”

  (Ibrahim, 14: 7)
Oleh itu, hati yang terdidik dengan ketenangan akan melahirkan pemimpin yang baik dari peringkat keluarga lagi dan diteruskan menjadi pemimpin di peringkat masyarakat, negara dan dunia. Apabila hati tenang, maka secara tidak langsung akan menonjolkan ketinggian peribadi seorang mukmin yang mengikut acuan Islam. Keindahan peribadi akan ditampilkan secara tidak langsung menerusi watak, sikap, perilaku dan gaya seseorang. Hati akan tenang jika semuanya kerana Allah s.w.t. Oleh itu, terbentuklah insan yang benar-benar dapat menjalankan amanah sebagai khalifah Allah s.w.t di bumi ini.