Monday 19 November 2012

MENYELIDIK DAN MEMBACA RAHSIA TARIKH LAHIR




TUGASAN BLOG SIW506
KHAIRUL IZUAN B AB. AZIZ
CALON SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN
PSM 0056/12

Pada hari ini, media massa dan media elektronik menyajikan pelbagai ramalan horoskop sama ada dalam surat khabar, majalah, laman sesawang dan laman sosial terkenal iaitu facebook.. Bagi orang yang benar-benar memahami hukum tentang membaca horoskop, mereka tidak akan menggunakan aplikasi berkenaan. Tetapi bagaimana pula dengan golongan yang tidak mengetahui hukum mengenai membaca horoskop terutamanya golongan  remaja?

Daripada statistik semasa yang dikeluarkan oleh SocialBakers (2012), pengguna Facebook Malaysia yang paling ramai adalah dalam lingkungan umur antara 18 hingga 24 tahun sebanyak lebih 38%, dan diikuti dengan pengguna berumur antara 25 hingga 34 tahun dengan lebih 33%. Jelas daripada statistik yang di keluarkan oleh SocialBakers menunjukkan golongan remaja mendominasi penggunaan facebook di Malaysia.

Selain daripada aplikasi horoskop yang terang-terangan bertentangan dengan ajaran Islam, kini terdapat beberapa aplikasi lain dalam facebook yang menyerupai horoskop tetapi dibuat oleh orang Islam sendiri. Contohnya, Rahsia Tarikh Lahir, Rahsia Bulan Lahir, Rahsia Bulan Lahir Pasangan dan Rahsia Bulan Islam. Adakah umat Islam menyedari perbuatan menyelidik tarikh dan bulan kelahiran untuk mengetahui sikap atau tingkah laku peribadi sendiri atau orang lain adalah sebahagian amalan menilik nasib atau ramalan horoskop? Mungkin ramai yang terkejut dengan pertanyaan ini, namun hakikatnya, mengkaji, menelaah dan menilik sifat atau sikap peribadi menerusi tarikh dan bulan kelahiran juga tergolong dalam perbuatan menilik nasib seperti membaca ramalan bintang zodiak. Pastinya, ramai umat Islam tidak menyangka, mengorek rahsia dan sikap peribadi menerusi tarikh serta bulan kelahiran yang telah dipopularkan beberapa pakar dan penceramah motivasi kebelakangan ini adalah tergolong dalam perbuatan kufur, sama seperti mendatangi ahli nujum atau tukang sihir termasuk bomoh.

Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca horoskop telah dibincangkan Nik Salida Suhaila Nik Salleh, Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Al-Fadhil Kadi Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9 dengan tajuk Bintang 12.

Nik Salida Suhaila, menjelaskan berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang. Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

Mengulas mengenai sejarah Bintang 12 pula, Badli Shah menyatakan, kepercayaan itu berasal dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq.  Berdasarkan apa yang diterangkan Badli Shah itu, jelaslah bahawa perbuatan menyelidik tarikh lahir dan bulan kelahiran berasal daripada tasawur orang Babylon. Sebagai umat Islam, kita tidak boleh mempercayai perbuatan berkenaan untuk mengetahui sikap atau tingkah laku peribadi sendiri atau orang lain kerana ia adalah sebahagian daripada amalan menilik nasib dan bertentangan dengan tasawur Islam.

Mengikut aplikasi Rahsia Tarikh Lahir, apabila seseorang itu lahir dalam bulan tertentu, mereka akan mempunyai sikap- sikap tertentu seperti penyabar, tidak mudah putus, setia, berjaya dalam hidup, mempunyai penyakit dan lain- lain lagi. Apa yang disenaraikan dalam Rahsia Tarikh Lahir itu akan mempunyai persamaan dengan seseorang yang yang lahir pada bulan berkenaan. Sebagai contohnya, apabila lahir pada bulan berkenaan mereka akan hidup dalam keadaan susah dan sering ditimpa musibah. Oleh yang demikian bagi mereka yang mempercayai sikap yang disenaraikan itu, mereka tidak akan berusaha untuk memajukan diri kerana sedar bahawa mereka akan ditimpa kesusahan dan musibah. Menurut tasawwur Islam, nasib seseorang itu boleh diubah dan nasib tidak bergantungpada bulan mana yang mereka dilahirkan. Hal ini dapat dibuktikan dalam al- Quran iaitu:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka
mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. ( Surah Ar-Ra'd 13:11 )


Sebagai umat Islam, hendaklah diyakini bahawa nasib tidak ditentukan oleh bulan  kelahiran, tetapi atas usaha sendiri untuk memajukan diri sendiri.

Selain itu, Badlisah juga menyatakan bahawa amalan menilik nasib ini bersumberkan kepada kepercayaan mitos Yunani.Ilmu itu berkembang sejak Babylon kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang. 

Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa Yunani. Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu, ia dijadikan bintang dan bercahaya di langit.

Sebagai umat Islam, sumber sesuatu ilmu itu hendaklah diperoleh berdasarkan al-Quran dan al-Hadith. Jelas sekali sumber epistemologi amalan menilik nasib ini tidak berlandaskan dalam al-Quran dan al-Hadith. Malahan perbuatan menilik nasib ini ditegah sama sekali oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“ Sesiapa yang datang berjumpa dengan tukang tilik dan bertanya kepadanya lalu mempercayainya maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w” ( Riwayat Abu Daud, no 3906)
Sehubungan dengan itu, umat Islam tidak boleh menggunakan perbuatan menilik nasib ini kerana ia boleh menyebabkan akidah mereka terpesong. Contohnya perbuatan mengorek Rahsia Tarikh Lahir Pasangan yang telah dipopularkan oleh pakar motivasi terkenal di tanah air. Berdasarkan pakar motivasi berkenaan, seseorang yang lahir pada tarikh berkenaan hanya sesuai mencari jodoh dengan seseorang yang lahir dengan tarikh tertentu jika mereka inginkan kebahagiaan dalam berumahtangga.

Sedangkan dalam memilih bakal isteri, Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk mengekalkan perhubungan suami isteri agar mereka dapat hidup bahagia sepanjang masa. Apabila seorang lelaki yang ingin mencari seorang perempuan sebagai calon isteri, hendaklah diperiksa sifat terpuji dan kritirea pegangan agama yang ada padanya dan jangan hanya fokus kepada soal duniawi sahaja seperyi kakayaan, kecantikkan dan kedudukan. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w, seseorang wanita itu sebaiknya dipilih untuk dinikahi adalah berdasarkan agamanya yang baik dan bukannya kerana soal duniawi.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta
kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam
pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”
Diriwayatkan oleh al- Bukhari (3/242), Muslim (2/1086).

Secara umumnya hadith ini menyenaraikan tentang ciri-ciri wanita yang biasanya menarik perhatian lelaki untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya, berharta, berdarjat tinggi dancantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki untuk menyuntingnya. Namun yang lebih penting hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri kuat penghayatan agamanya. Ini disebabkan wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan memberikan pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga.

Dengan karektor agama yang baik  sebenarnya akan mencakupi segala faktor yang lainnya. Dengan aspek agama yang baik ini, keindahan akhlaknya terserlah, kecantikkannya terjaga dan terpelihara, malahan martabat dan kehormatannya berbanding wanita yang tidak mempunyai pegangan agama tinggi nilainya disisi Allah. Oleh itu, sebagai umat Islam, sepatutnya tidak boleh menjadikan tarikh lahir sebagai suatu panduan  memilih pasangan untuk mencapai kebahagian dalam pernikahan. Hal ini kerana, bulan kelahiran bukanlah penentu kebahagiaan dalam pernikahan tetapi penghayatan kepada agama yang dapat membuatkan indahnya berumahtangga.

Perbuatan menyelidik rahsia tarikh lahir ini boleh menyebabkan akidah seseorang Islam terpesong daripada ajaran Islam. Hal ini kerana perbuatan menyelidik tersebut menggambarkan seolah- olah seseorang itu lebih mempercayai nasib itu ditentukan oleh tarikh lahir dan bukannya ditentukan oleh Allah swt. Semua ini merupakan syirik kepada Allah kerana hanya Allah yang tahu apa yang bakal berlaku kepada nasib seseorang manusia, sama ada baik atau buruk.


BIBLIOGRAFI
Mohammad Nidzam (2009) Horoskop dan kaitannya dengan akidah. Solusi (10). pp. 98-99. ISSN 1985-5400

Malaysia Facebook Statistics, Socialbakers (2012), Diakses dari www.socialbakers.com/facebook-statistics/malaysia pada Oktober 2012.

The Merdeka Online.com ( Oktober 2012 ), Horoskop Rosakkan Akidah. Diakses dari merdeka-online.com/home/horoskop-rosakkan-akidah/ pada Oktober 2012.