TUGASAN
BLOG SIW506
KHAIRUL
IZUAN B AB. AZIZ
CALON
SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN
PSM 0056/12
Pada
hari ini, media massa dan media elektronik menyajikan pelbagai ramalan horoskop
sama ada dalam surat khabar, majalah, laman sesawang dan laman sosial terkenal
iaitu facebook.. Bagi orang yang
benar-benar memahami hukum tentang membaca horoskop, mereka tidak akan
menggunakan aplikasi berkenaan. Tetapi bagaimana pula dengan golongan yang
tidak mengetahui hukum mengenai membaca horoskop terutamanya golongan remaja?
Daripada
statistik semasa yang dikeluarkan oleh SocialBakers
(2012), pengguna Facebook Malaysia yang paling ramai adalah dalam lingkungan
umur antara 18 hingga 24 tahun sebanyak lebih 38%, dan diikuti dengan pengguna
berumur antara 25 hingga 34 tahun dengan lebih 33%. Jelas daripada statistik
yang di keluarkan oleh SocialBakers
menunjukkan golongan remaja mendominasi penggunaan facebook di Malaysia.
Selain
daripada aplikasi horoskop yang terang-terangan bertentangan dengan ajaran
Islam, kini terdapat beberapa aplikasi lain dalam facebook yang menyerupai horoskop tetapi dibuat oleh orang Islam
sendiri. Contohnya, Rahsia Tarikh Lahir, Rahsia Bulan Lahir, Rahsia Bulan Lahir
Pasangan dan Rahsia Bulan Islam. Adakah umat Islam menyedari perbuatan
menyelidik tarikh dan bulan kelahiran untuk mengetahui sikap atau tingkah laku
peribadi sendiri atau orang lain adalah sebahagian amalan menilik nasib atau
ramalan horoskop? Mungkin ramai yang terkejut dengan pertanyaan ini, namun
hakikatnya, mengkaji, menelaah dan menilik sifat atau sikap peribadi menerusi
tarikh dan bulan kelahiran juga tergolong dalam perbuatan menilik nasib seperti
membaca ramalan bintang zodiak. Pastinya, ramai umat Islam tidak menyangka,
mengorek rahsia dan sikap peribadi menerusi tarikh serta bulan kelahiran yang telah
dipopularkan beberapa pakar dan penceramah motivasi kebelakangan ini adalah
tergolong dalam perbuatan kufur, sama seperti mendatangi ahli nujum atau tukang
sihir termasuk bomoh.
Perbahasan
mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca
horoskop telah dibincangkan Nik Salida Suhaila Nik Salleh, Pensyarah fakulti
Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama
Al-Fadhil Kadi Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah
terbitan TV9 dengan tajuk Bintang 12.
Nik
Salida Suhaila, menjelaskan berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi
mengenai hukum membaca ramalan bintang. Katanya, walau seseorang itu tidak
membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan
jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur
kepada ajaran Muhammad.Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk
membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah
menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.
Mengulas
mengenai sejarah Bintang 12 pula, Badli Shah menyatakan, kepercayaan itu berasal
dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan
Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq.
Berdasarkan apa yang diterangkan Badli Shah itu, jelaslah bahawa
perbuatan menyelidik tarikh lahir dan bulan kelahiran berasal daripada tasawur
orang Babylon. Sebagai umat Islam, kita tidak boleh mempercayai perbuatan berkenaan
untuk mengetahui sikap atau tingkah laku peribadi sendiri atau orang lain
kerana ia adalah sebahagian daripada amalan menilik nasib dan bertentangan
dengan tasawur Islam.
Mengikut
aplikasi Rahsia Tarikh Lahir, apabila seseorang itu lahir dalam bulan tertentu,
mereka akan mempunyai sikap- sikap tertentu seperti penyabar, tidak mudah
putus, setia, berjaya dalam hidup, mempunyai penyakit dan lain- lain lagi. Apa
yang disenaraikan dalam Rahsia Tarikh Lahir itu akan mempunyai persamaan dengan
seseorang yang yang lahir pada bulan berkenaan. Sebagai contohnya, apabila
lahir pada bulan berkenaan mereka akan hidup dalam keadaan susah dan sering
ditimpa musibah. Oleh yang demikian bagi mereka yang mempercayai sikap yang
disenaraikan itu, mereka tidak akan berusaha untuk memajukan diri kerana sedar
bahawa mereka akan ditimpa kesusahan dan musibah. Menurut tasawwur Islam, nasib
seseorang itu boleh diubah dan nasib tidak bergantungpada bulan mana yang
mereka dilahirkan. Hal ini dapat dibuktikan dalam al- Quran iaitu:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu
kaum sehingga mereka
mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. ( Surah Ar-Ra'd 13:11 )
Sebagai
umat Islam, hendaklah diyakini bahawa nasib tidak ditentukan oleh bulan kelahiran, tetapi atas usaha sendiri untuk
memajukan diri sendiri.
Selain
itu, Badlisah juga menyatakan bahawa amalan menilik nasib ini bersumberkan
kepada kepercayaan mitos Yunani.Ilmu itu berkembang sejak Babylon kuno 200
tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan kepercayaan itu semakin
berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12 yang
mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang.
Contohnya
bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut
mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi
bagi bangsa Yunani. Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu, ia dijadikan
bintang dan bercahaya di langit.
Sebagai
umat Islam, sumber sesuatu ilmu itu hendaklah diperoleh berdasarkan al-Quran
dan al-Hadith. Jelas sekali sumber epistemologi amalan menilik nasib ini tidak
berlandaskan dalam al-Quran dan al-Hadith. Malahan perbuatan menilik nasib ini
ditegah sama sekali oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ Sesiapa yang datang
berjumpa dengan tukang tilik dan bertanya kepadanya lalu mempercayainya maka
sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w” ( Riwayat Abu Daud, no 3906)
Sehubungan
dengan itu, umat Islam tidak boleh menggunakan perbuatan menilik nasib ini
kerana ia boleh menyebabkan akidah mereka terpesong. Contohnya perbuatan
mengorek Rahsia Tarikh Lahir Pasangan yang telah dipopularkan oleh pakar
motivasi terkenal di tanah air. Berdasarkan pakar motivasi berkenaan, seseorang
yang lahir pada tarikh berkenaan hanya sesuai mencari jodoh dengan seseorang
yang lahir dengan tarikh tertentu jika mereka inginkan kebahagiaan dalam berumahtangga.
Sedangkan
dalam memilih bakal isteri, Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk
mengekalkan perhubungan suami isteri agar mereka dapat hidup bahagia sepanjang
masa. Apabila seorang lelaki yang ingin mencari seorang perempuan sebagai calon
isteri, hendaklah diperiksa sifat terpuji dan kritirea pegangan agama yang ada
padanya dan jangan hanya fokus kepada soal duniawi sahaja seperyi kakayaan,
kecantikkan dan kedudukan. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w, seseorang
wanita itu sebaiknya dipilih untuk dinikahi adalah berdasarkan agamanya yang
baik dan bukannya kerana soal duniawi.
Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Dikahwini wanita itu
(untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta
kekayaannya, keturunannya,
kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam
pemilihanmu itu) wanita
yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”
Diriwayatkan
oleh al- Bukhari (3/242), Muslim (2/1086).
Secara
umumnya hadith ini menyenaraikan tentang ciri-ciri wanita yang biasanya menarik
perhatian lelaki untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya, berharta,
berdarjat tinggi dancantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun hati kaum
lelaki untuk menyuntingnya. Namun yang lebih penting hadith di atas menyarankan
kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri kuat
penghayatan agamanya. Ini disebabkan wanita yang melaksanakan segala ajaran
agama akan memberikan pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan
hidup berumahtangga.
Dengan
karektor agama yang baik sebenarnya akan
mencakupi segala faktor yang lainnya. Dengan aspek agama yang baik ini,
keindahan akhlaknya terserlah, kecantikkannya terjaga dan terpelihara, malahan
martabat dan kehormatannya berbanding wanita yang tidak mempunyai pegangan
agama tinggi nilainya disisi Allah. Oleh itu, sebagai umat Islam, sepatutnya
tidak boleh menjadikan tarikh lahir sebagai suatu panduan memilih pasangan untuk mencapai kebahagian
dalam pernikahan. Hal ini kerana, bulan kelahiran bukanlah penentu kebahagiaan
dalam pernikahan tetapi penghayatan kepada agama yang dapat membuatkan indahnya
berumahtangga.
Perbuatan
menyelidik rahsia tarikh lahir ini boleh menyebabkan akidah seseorang Islam
terpesong daripada ajaran Islam. Hal ini kerana perbuatan menyelidik tersebut
menggambarkan seolah- olah seseorang itu lebih mempercayai nasib itu ditentukan
oleh tarikh lahir dan bukannya ditentukan oleh Allah swt. Semua ini merupakan
syirik kepada Allah kerana hanya Allah yang tahu apa yang bakal berlaku kepada
nasib seseorang manusia, sama ada baik atau buruk.
BIBLIOGRAFI
Mohammad Nidzam
(2009) Horoskop dan kaitannya dengan
akidah. Solusi (10). pp. 98-99. ISSN 1985-5400
Malaysia
Facebook Statistics, Socialbakers (2012), Diakses dari www.socialbakers.com/facebook-statistics/malaysia pada Oktober
2012.
The Merdeka
Online.com ( Oktober 2012 ), Horoskop
Rosakkan Akidah. Diakses dari merdeka-online.com/home/horoskop-rosakkan-akidah/
pada Oktober 2012.
No comments:
Post a Comment